| “Ya
Allah, berikanlah cinta-Mu kepadaku,
Jadikanlah orang yang mencintai-Mu mencintai aku
Dan jadikanlah aku mencintai segala sesuatu
yang membawa kepada kecintaan-Mu!”
Buku
ini saya tujukan untuk semua – untuk remaja dan ibu-bapa
mereka. Kerap kita mengeluh, kenapa remaja hari ini begitu sukar
mendengar kata khususnya tentang cinta. Usah terlalu cepat menyalahkan
remaja. Mereka hakikatnya ‘produk’ remaja tua –
kita sendiri. Bagaimana objek, begitulah bayang-bayangnya. Tidak
mungkin kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus.
Kita menyemai badai, kita menuai taufan! Untuk membetulkan remaja kita sebagai ibu-bapa perlu membetulkan
diri kita sendiri terlebih dahulu. Dan untuk membetulkan pandangan
mereka tentang cinta, kita terlebih dahulu mesti mendapat pandangan
yang tepat tentang cinta. Kita ada pandangan, mereka pun ada pandangan.
Ingat, perbezaan bukan semestinya satu pertentangan, asalkan kedua-duanya
merujuk kepada kebenaran – DIA Al Haq itu! Kepada
remaja, ingin saya berpesan: Anda perlu menghormati pandangan
ibu-bapa anda. Mereka ada kelebihan berbanding anda. Apa kelebihannya?
Mereka pernah muda, sedangkan anda belum pernah tua. Fahami empati
yang berada di lubuk jiwa mereka. Walaupun mereka dahulunya kerap
juga tersalah dalam cinta, tetapi lopak yang pernah mereka terjatuh,
tidak ingin sekali-kali mereka biarkan anak-anak mereka terjatuh
lagi. Tegakah hati melihat anak yang ditatang selama ini ‘dilarikan’ cinta yang menggila?
|